Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor

KENYATAAN MEDIA

5hb Mac 2019

Saya menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berhubung isu penghinaan terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Titah DYMM Sultan Selangor tersebut dizahirkan seusai perbincangan Mesyuarat Dewan di-Raja Selangor pada 4 Mac 2019.

Sehubungan itu saya menzahirkan segenap sokongan dan menjunjung kasih titah DYMM Sultan Selangor dan menggesa semua pihak agar menginsafi serta akur akan titah Tuanku Sultan Selangor.

Perbuatan menghina keperibadian Rasulullah SAW adalah satu tindakan jelik yang akan menjejaskan keharmonian serta perpaduan di negara ini.

Justeru saya mengulangi pendirian saya baru-baru ini yang mengecam sekeras-kerasnya segala bentuk penghinaan kepada Nabi Muhammad SAW. Perbuatan ini harus dihentikan serta-merta agar tidak mendatangkan kejadian yang tidak diingini sehingga mengugat kesentosaan negeri.

Manakala itu DYMM Tuanku turut mengingatkan umat Islam agar tidak mencemuh agama dan kepercayaan orang bukan Islam.

Saya menggesa pihak berkuasa termasuklah Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dalam isu ini.

YAB Tuan Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor

Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor v.2