Perutusan Tahun Baru Cina 2019

Saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada seluruh masyarakat Tionghua khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan. Sambutan Tahun Baru kali ini amat bersejarah kerana ia merupakan kali pertama perayaan ini diraikan di era Malaysia Baharu selepas Pilihanraya 9hb Mei tahun lalu.

Sudah pasti rakyat Malaysia meletakkan harapan besar kepada Pakatan Harapan termasuklah Kerajaan Selangor untuk melaksanakan segala pembaharuan dan perubahan yang dijanjikan. Kini adalah waktu untuk bekerja. Bekerja lebih kuat untuk rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia mengerti bahawa proses transisi dari sebuah kerajaan kleptokrat kepada suatu Kerajaan Reformasi bukanlah mudah. Namun, ini bukanlah alasan kepada pimpinan HARAPAN termasuklah diri saya sendiri untuk bersikap sambil lewa serta masih gugup mentadbir. Masa mencemburui kita. Mandat yang diamanahkan rakyat harus dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Kita di Negeri Selangor boleh dikira bertuah kerana telah memulakan proses pembaharuan ini semenjak tahun 2008 lagi. Segala tohmahan yang dilemparkan sejak 10 tahun lalu telah dijawab dengan pelaksanaan dasar-dasar yang mensejahterakan negeri dan rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan. Justeru pada pilihanraya yang lalu, rakyat negeri ini telah memberikan suatu kemenangan yang besar kepada HARAPAN.

Oleh kerana itu demi memaknai kemenangan tersebut, Belanjawan 2019 turut menumpukan kepada dasar memacu ekonomi negeri dengan membangunkan sepuluh kluster yang dinamakan Gugusan Ekonomi Negeri Selangor. Inisiatif ini berhasrat untuk merungkai dan melancarkan segenap potensi yang ada pada setiap lokaliti agar ekonomi tempatan dapat dilonjakkan sekaligus mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan perniagaan. Di antara gugusan tersebut adalah Gugusan Aeroangkasa di Subang dan KLIA, Gugusan Pendidikan di Gombak dan Bangi serta Gugusan Agro-Eko-Pelancongan di Sekinchan dan Sabak Bernam.

Walaubagaimanapun kesemua perancangan ini hanya dapat dilaksanakan jika seluruh rakyat Selangor bersatu-padu menjayakannya. Sempena Tahun Baru Cina ini saya mengajak seluruh rakyat untuk menghayati kemajmukan budaya yang wujud di Negeri Selangor demi kesejahteraan dan kemakmuran negeri kita.

Kepada Masyarakat Tionghua, saya berharap sambutan kali ini diraikan dengan penuh kebahagiaan dan kegembiraan.

Xin Nian Kuai Le, Kung Hey Fat Choi.

Xin Nian Jin Bu, Fu Shou Shuang Quan

YAB Tuan Amirudin Shari Dato’ Menteri Besar Selangor

Perutusan Tahun Baru Cina 2019