Transkrip Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor sempena Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Selangor Januari 2019

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

 

Alhamdulillahi mahmaduhu wa nasta’inuhu wanastaghfiruh min sururi anfusina wa saiyiatil a’malina

 

Terima kasih saudara pengerusi majlis

 

Yang Berhormat Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor

 

Yang Berhormat Tuan Ng Suee Lim

Speaker Dewan Negeri Selangor

 

Yang Berhormat, Dato’ Nor Azmie Bin Diron

Pegawai Kewangan Negeri Selangor

 

Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri

 

Sahibus Samahah Dato’ Seri Mufti Diraja Selangor

Dato’ Setia Haji Muhammad Tamyes bin Abd Wahid

 

Yang Berhormat Ahli-ahli Dewan Negeri

 

Yang Amat Arif, Ketua Hakim Syar’i

Dato’ Muhammad Adi bin Husin

 

Yang berbahagia Dato’ Ahmad Suwaidi

Timbalan Setiausaha Negeri Selangor

 

Yang berbahagia Ketua-ketua Jabatan Peringkat Negeri, Pegawai-pegawai Daerah, Datuk-datuk Bandar, dan Yang Dipertua-Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai-pegawai Kanan Pentadbiran Negeri, Anak-anak Syarikat Kerajaan Negeri, Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi sekalian,

 

 

Alhamdulillah, marilah kita merakamkan rasa syukur kehadrat Allah Taala, kerana dengan izin-Nya, dengan limpah kudrat-Nya, kita dapat berkumpul pada pagi ini bersama-sama untuk kita mendengar dan menyatakan kembali tekad dan usaha kita pada tahun 2019 ini setelah kita berjaya melalui 2018 yang penuh dengan liku-liku, cerita-cerita dan kenangan yang pahit mahupun kenangan yang manis.

 

Dan sudah pasti pagi ini saya mahu merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah khusus kepada Setiausaha Kerajaan Negeri serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang bukan sahaja sebagai hos atau tuan rumah pada himpunan kali pertama 2019 ini tetapi dalam masa yang sama, telah berjaya menjadi salah satu sekretariat terbaik di Malaysia dengan telah mencapai dan mencatatkan pencapaian-pencapaian yang membanggakan. Yang bukan hanya boleh dicatatkan pencapaian itu di peringkat negeri, ataupun peringkat nasional, tetapi pegawai-pegawai kita, program-program kita, inovasi dan pencapaian yang kita terjemahkan dalam perkhidmatan selama ini telah diiktiraf di peringkat dunia.

 

Terima kasih Dato’ SS; Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Sekretariat SUK dan seluruh penjawat-penjawat awam di dalam negeri Selangor.

 

Saudara-saudari tuan-puan yang saya kasihi sekalian,

 

 

Setiap kali tiba tahun baharu, ramai antara kita akan memperbaharui tekad dan keazaman demi untuk menjadi lebih baik.

 

Kita berazam untuk menjadi lebih baik bukan sekadar untuk diri kita semata-mata, akan tetapi juga demi keluarga, masyarakat, negeri khususnya Negeri Selangor Darul Ehsan dan pastinya, negara yang kita cintai.

 

Memasuki tahun baharu seringkali mengejutkan kesedaran kita bahawa kita semua merupakan “servant to the people”, yang berbakti kepada rakyat agar kehidupan mereka bertambah baik setiap tahun. Kesedaran ini mengingatkan kita agar tidak sambil lewa dengan tugasan seharian. Kesedaran ini membolehkan kita menghimbau samada kita sudah melakukan yang terbaik pada tahun sebelumnya. Justeru ia akan membakar semangat kita untuk berkhidmat dengan lebih baik pada tahun ini, tahun 2019.

 

Walaupun tempoh sambutan tahun baharu sudah agak lama berlalu dan kita sekarang berada di penghujung bulan Januari, saya mahu mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan selamat tahun baharu kepada seluruh penjawat awam Negeri Selangor; dan saya berdoa semoga pada tahun 2019 ini kita semua diampuni, diberkati dan diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk menjalankan amanah yang ditaklifkan kepada kita.

 

Sayugia pada hari ini kita semua bertafakur dan menghayati makna amanah tersebut. Al-Quran al-Karim dalam Surah al-Mukminun ayat ke-8 menyebut:

 

رَاعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ

 

Ayat tersebut bermaksud: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”. Allah SWT memuji mereka yang menjaga dan melaksanakan amanah sebagai mereka yang berhak mewarisi bumi ini. Dalam tafsir yang terkenal, iaitu Tafsir Ibnu Katsir menggambarkan orang yang menjaga amanah ini sebagai “mereka diberi kepercayaan, maka mereka tidak akan mengkhianatinya tetapi mereka menunaikannya kepada mereka yang berhak. Dan jika mereka berjanji atau melakukan akan perjanjian itu, maka mereka menepatinya, tidak seperti sifat-sifat orang munafik.”

 

Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya pertamanya sudah pasti, kepada seluruh staf di pejabat saya dan buat seluruh penjawat awam Negeri Selangor agar kita jangan sesekali memandang remeh amanah yang diberikan dan pertanggungjawaban untuk kita semua melaksanakan semua tugas demi kemaslahatan rakyat di dalam negeri kita.

 

Sebutlah apa pun parameter, ISO, SOP, KPI dan sebagainya. Sebenarnya itu hanyalah alat-alat yang mengukur secara lahiriah tugasan atau tanggungjawab atau kerja tuan-tuan dan puan-puan. Namun saya percaya, ajaran agama terutamanya agama Islam dan didikan yang telah diberikan termasuk ikrar yang kita telah bacakan tiap-tiap bulan tentang etika kerja; bertegas mengubah pemikiran rakyat, menjalankan amanah dalam ikrar yang kita bacakan tiap-tiap bulan itu sebenarnya kalau kita mempunyai penilaian kendiri; kita mampu untuk muhasabah diri; kita mampu untuk meletakkan sesuatu yang lebih baik di hadapan daripada sebelum ini. Insya-Allah saya percaya, tanpa SOP, tanpa KPI, tanpa apa sekali pun, saya percaya kita akan mampu untuk memenuhi tanggungjawab dan keperluan dengan syarat, dengan hasrat kita akan sentiasa mengambil sifat amanah sebagai salah satu daripada teras perjalanan dan juga nilai dalam kehidupan kita.

Justeru, bukan main-main sikap dan juga arahan kerajaan pusat baru-baru ini. Bila menukar, ia bukan setakat slogan yang dilaungkan, daripada “yang menjalankan tugas” yang kadang-kadang boleh dimaknakan dan konotasinya membabi buta melaksanakan tugas tanpa berfikir dan sebagainya… itu pandangan negatif sesetengah orang sebelum ini kepada mereka “yang menjalankan amanah” kerana kita percaya, kiranya kita mampu melahirkan manusia-manusia yang beramanah di mana sahaja ia diletakkan, apa juga tugas yang dipertanggungjawabkan; selaku pemimpin, selaku ketua masyarakat, ia akan menjadi khalifah yang akan membawa kebaikan dan bukan mereka-mereka yang melakukan kehancuran dan kerosakan dengan tangan-tangan dan sikap mereka.

 

Justeru, sudah pasti, inilah ciri dan nilai yang saya harapkan tertanam tegar dalam jiwa kita penjawat-penjawat awam di negeri Selangor dan sudah pasti kepada pentadbiran kita kepada pemimpin-pemimpin kita, supaya ia akan dapat dilaksanakan kerana sifat ini akan menjamin integriti, sikap ini akan menjamin ‘delivery’ ataupun penyampaian yang akan dilakukan; sifat ini insya-Allah akan menjadi motivasi dan tonik terbaik dalam diri kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang akan dilakukan.

Namun begitu, sesuai dengan cara dan kaedah pemantauan tatakelola dan ‘good governance’ sudah pasti kerajaan negeri melalui setiausaha kerajaan negeri masih lagi menetapkan apa yang dikatakan KPI ‘key performance index’ ataupun kita akan letakkan beberapa SOP-SOP / pendekatan-pendekatan kerana dalam masa yang sama, kita juga harus melakukan dan melaksanakan apa yang dikatakan penghargaan, pemberian dan sebagainya yang akan juga secara langsung dan tidak langsung memberikan nilai tambah kepada motivasi dan tonik kepada perjalanan kehidupan kita.

 

Saudara-saudara dan tuan-tuan puan-puan sekalian,

 

 

Sebab itu, sewaktu saya umumkan bahawa dalam tahun 2019 kita tidak lagi memberikan pemberian khas atau seringkali yang dipanggil sebagai ‘bonus’ kepada penjawat awam secara sama rata dan sama adil, sebaliknya meletakkan beberapa KPI-KPI dan juga syarat-syarat untuk dipenuhi ada mereka-mereka dan sebahagian di luar sana yang menganggap bahawa kerajaan negeri seolah-olah tidak lagi menghargai dan memberikan kepercayaan kepada penjawat-penjawat awam.

 

Namun saya sebutkan di sini, saya letakkan perkara tersebut sebagai penghargaan sebenarnya. Kepada majoriti yang saya percaya ada di depan saya ini, yang kalau tidak seratus peratus pun saya pasti 99% rakyat dan juga penjawat awam dalam negeri Selangor ini yang ada di depan saya mampu untuk mencapai Key Performance Index; syarat-syarat yang ditetapkan dan sekaligus menerima bonus dan pemberian khas yang jauh lebih baik.

 

Dan saya letakkan di sini, bahawa tahun ini, kalau semua berjaya mencatatkan pencapaian terbaik, kita akan berikan pemberian khas lebih dari dua bulan yang kita berikan pada 2018; tapi kena capai! Tapi kita tidaklah kejam; saya pasti himpunan bulan Ramadan nanti, dewan ini tidak akan cukup sebagaimana tahun-tahun sebelum ini .

 

Tetapi kena laksanakan tugas. Kita pun sedang lakukan, dan kita pun sudah pasti ini ‘spirit’ atau semangat apa yang disebut Dato’ Setiausaha K’rajaan sebagai perubahan yang berlaku.

 

Sudah pasti 9 haribulan Mei yang sentiasa diingati itu mendesak dan berlakunya gambaran kepada perubahan di kalangan rakyat, dan kita juga melangkah dan melaksanakan perubahan. Perubahan di Putrajaya, alhamdulillah, di negeri Selangor kita bukan mengikut apa yang di sana sahaja, tetapi kita juga mengetuai dalam beberapa tindakan-tindakan ‘reform’, proses dan sebagainya ketika pemerintahan dan pentadbiran.

 

Sudah pasti perubahan-perubahan ini sedikit-sebanyak akan menggigit; sedikit-sebanyak akan mencalarkan; sedikit-sebanyak akan mengguriskan tetapi percayalah jika kita tidak berubah, kita tidak akan mampu untuk berdepan dengan zaman dan berdepan dengan perubahan yang berlaku.

 

Sebab itu pada dua-tiga tahun yang lalu, kerajaan negeri terkehadapan dalam meletakkan ‘smart state’ atau ‘Smart Selangor’ sebagai salah satu gagasan kita. Waktu itu tidak ada negeri-negeri di Malaysia atau mana-mana pihak agensi atau jabatan awam di Malaysia yang meletakkan ‘smart solution’ atau pun ‘smart city’ atau pun ‘smart state’ sebagai sasaran mereka kerana kita percaya, daripada ‘literature review’ daripada kajian, pembacaan yang kita lakukan, inilah masa depan dan inilah yang akan kita tempuhi pada masa hadapan.

 

Saya sebutkan tentang ‘smart state’, tentang ‘IR4.0’, revolusi industri 4.0: ia merupakan perkara yang kita tidak dapat elakkan; perkara yang tak mungkin kita dapat tahan dan kita nafikan.

 

Saya bagi gambaran yang sangat mudah, menyebutkan bagaimana arus ini akan lanskap dan perjalanan hidup kita.

 

Bayangkan pada tahun 80-an malahan pada 90-an apabila kita disebutkan dan diberitahu akan berlakunya ledakan teknologi maklumat, akan berlaku perubahan daripada bagaimana informasi atau maklumat akan tersebar di masa depan. Pada waktu itu Tun Dr. Mahathir yang masih lagi Perdana Menteri ke-4 membuat Cyberjaya sebagai salah satu daripada impian beliau bagaimana ingin menjadikan sistem perkomputeran dan digitalisasi dalam kehidupan kita dan merubah dalam kehidupan kita.

 

Pada ketika itu kita tidak terbayangkan bahawa maklumat-maklumat ini boleh tersebar dengan begitu pantas, bagaimana kita akan berhubungan dengan mereka seluruh dunia tanpa ada kekangan dan bil yang besar sebagaimana yang kita hadapi pada tahun-tahun 80-an.

 

Kalau kita tidak berubah dan bersedia pada masa tersebut, menerima aspek-aspek perubahan tersebut, pada hari ini saya percaya kita akan tertinggal dan tidak lagi mempunyai alat-alat yang sentiasa ada di tangan-tangan kita. Kalau hari ini kita masih memakai akaun Hotmail sebagai contoh… orang dah tak pakai dah! Ada lagi yang pakai akaun Hotmail? Sangat unik kalau ada lagi barangkali.

 

Kalau hari ini orang masih ber-SMS, ada orang yang tidak mempunyai akaun Whatsapp pada hari ini? Semua sudah ada. Jadi kalau kita masih kekal lama pada era dan cara fikir tahun 90-an, kita tidak dapat menerima dan kita gagal adapt apa yang berlaku. Itulah juga yang kita sedang buat sedang laksanakan; malahan apabila kerajaan negeri menggagaskan IR4.0 bila kita sebut tentang ‘smart state’, ‘smart solution’… inilah cabaran juga gagasan dan juga perubahan yang kita lakukan.

 

Dan penjawat-penjawat awam, agensi-agensi pentadbiran awam, anak-anak syarikat kerajaan negeri harus terkedepan dalam perkara ini, kerana ia telah dijadikan sebagai salah satu asas dan juga ‘pillars’ penting kepada pembentukan dan perjalanan kerajaan di masa hadapan dan masa-masa yang di depan kita.

 

Justeru saya berharap 2019 ini akan memacu semangat kita untuk meletakkan beberapa asas-asas penting, bersedia menerima perubahan, bersedia untuk mengadaptasi perubahan-perubahan yang dilakukan kerana insya-Allah, kalau kita sentiasa berubah dan berikhtiar kepada yang lebih baik, islah daripada yang sebelum ini daripada kurang baik kea rah yang lebih baik, insya-Allah. Itulah formula dan cara terbaik untuk kita berubah dan melaksanakan kehidupan kita.

 

Justeru pada tahun ini 2019, kita juga melaksanakan beberapa pensejajaran ataupun yang disebut ‘re-alignment’ atau pun pengubahsuaian kepada pendekatan pentadbiran dan perbelanjaan dan pelan fiskal kerajaan ini.

 

Pada 23 November 2019, setelah membentangkan belanjawan negeri Selangor, dengan usaha-usaha untuk merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat, dan mensejahterakan negeri Selangor. Ia bukan hanya kata-kata yang indah untuk diperkatakan, tetapi ada sesuatu yang patut kita laksanakan, dan sesuatu yang patut kita gerakkan dengan bersungguh-sungguh.

 

Saudara-saudara dan tuan-tuan yang saya kasihi sekalian,

 

 

Sudah pastilah ini bukan belanjawan atau rancangan fiskal Amirudin Shari ataupun Pejabat Menteri Besar Negeri Selangor; ini adalah rancangan fiskal dan Belanjawan Negeri Selangor. Dan kita laksanakan belanjawan ini, dan kita draf dan rangka belanjawan ini, berdasarkan makluman-makluman dan juga informasi dan data-data yang diperolehi daripada yang ada di depan saya termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Kewangan Negeri.

 

Dan tahun lepas, tahun 2018, sewaktu perangkaan dan draf apa yang disebut Belanjawan Negeri Selangor, kita bukan hanya melaksanakan mesyuarat dan pertemuan dengan agensi-agensi awam dengan pentadbiran-pentadbiran awam ataupun lantikan-lantikan politik kita, tetapi tahun lepas kita telah memanjangkan sedikit dengan melalui beberapa diskusi-diskusi dan forum terus kepada ‘players’, terus kepada ‘stakeholders’ atau pemegang taruh, yang penting dalam pelaksanaan, sebagai contoh bila kita bincang tentang pertanian, kita panggil pemain-pemain industri utama pertanian, kita panggil petani daripada luar bandar, bila kita sebut tentang perumahan, kita panggil institusi perbankan, kita panggil akademia, kita panggil institusi pengajian tinggi, kerana kita percaya, kita mendapat sebanyak mungkin maklumat, dan daripada situ maklumat yang lebih dalam dan jitu, untuk merangka dan membawa hala tuju negeri Selangor.

 

Jadi besarlah harapan saya bahawa 2019 ini kita dapat sama-sama memikul hasrat dan cita-cita yang telah diterjemahkan dalam Belanjawan 2019 yang sekali lagi saya tegaskan, ia bukan belanjawan Amirudin Shari, ia bukan belanjawan Pejabat Menteri Besar, sebaliknya ia belanjawan kita negeri Selangor, negeri yang paling maju dan berdaya saing.

 

 

KLUSTERISASI

 

Saudara-saudari tuan-tuan yang saya kasihi sekalian,

 

 

Justeru, ada beberapa aspek yang kita harus menerima dan melaksanakan terutamanya dalam rangka dan pelan belanjawan 2019. Perkara yang penting adalah berkenaan klusterisasi, ataupun yang dipanggil sebagai gugusan-gugusan ekonomi. Ini adalah satu usaha yang mana kerajaan negeri dan pentadbiran kerajaan negeri melihat bahawa negeri Selangor ini boleh terus diberdayakan; negeri Selangor ini masih boleh dirancakkan dari segi ekonomi.

 

Kita tidak boleh ‘stagnant’ dan ‘static’ pada satu kedudukan dan tempat. Kita juga tidak boleh menunggu arus-arus datang dan melakukan perubahan berdasarkan arus-arus dan hanya mengikut arus-arus yang akan membawa kita. Justeru, klusterisasi ini adalah untuk memfokuskan dan meneliti secara rinci dan secara dalam aset-aset dan potensi yang ada dalam setiap lokaliti dan daerah dan kawasan-kawasan di dalam negeri Selangor supaya aset-aset dan potensi ini dibugarkan, dikembangkan, diperbesarkan dan diangkat menjadi ciri-ciri istimewa dalam negeri kita sebagai asas-asas ekonomi dalam negeri kita.

 

Kita mempunyai hab lokaliti pembangunan; kita mempunyai hab lokaliti perkhidmatan & logistik; kita mempunyai hab aeroangkasa; 62% daripada sector ‘aerospace aviation’ atau aeroangkasa di dalam negara kita ini terletak dalam negeri Selangor. Kita ada ‘base’ pertanian Sabak Bernam kawasan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor. Kita mempunyai beberapa hab-hab pelancongan yang terletak di utara Selangor; dari Kuala Selangor sampailah ke Sabak Bernam.

 

Kawasan-kawasan ini, atau lokaliti-lokaliti ini, walaupun mungkin kita kenali, walaupun mungkin kita tahu, mungkin ramai lagi tak tahu, mungkin banyak lagi kita boleh perhebatkan dan perkemaskan dan klusterisasi ini akan memastikan fokus lokaliti-lokaliti itu tidak teralih tanpa asal-usul periksa, tanpa justifikasi yang baik, dan ia juga akan menjamin apa yang dikatakan pembangunan yang seimbang, ini juga akan menjamin kelestarian pembangunan di mana pembangunan bukan sekadar membina bangunan, membawa kemajuan, merancakkan ekonomi, tetapi pembangunan ada soal dalaman dalam diri dan jiwa kita, persoalan hati, persoalan iman, persoalan pemikiran, dan persoalan bagaimana kita memastikan alam sekitar kehidupan kita ini dijamin untuk generasi yang akan datang.

 

Sebab pembangunan bukan bererti duit yang banyak, bukan bererti kehidupan yang besar dan selesa, sudah pasti pembangunan juga bererti kehidupan yang bahagia dan rakyat yang gembira dan masyarakatnya yang harmoni, dan indeks kegembiraannya baik dalam negeri kita.

 

Inilah yang dihasratkan dari klusterisasi dan semangat yang ada dalam klusterisasi yang saya harap boleh difahami, boleh menjadi dalam ‘fingertips’ kita, dengan izin, dan boleh difahami oleh seluruh penjawat awam terutama di daerah, di lokaliti-lokaliti, kerana saudara-saudaralah yang akan bergerak, saudara-saudaralah yang akan melaksanakan, dalam ikrar tadi “mengubah dan menggerakkan pemikiran rakyat” ke arah yang lebih baik dan kita akan gerakkan rakyat ke arah cara dan pemikiran yang lebih baik, kita akan pastikan melalui klusterisasi ini jurang, dikotomi, dan juga perbedaan antara kawasan luar bandar dan lokaliti-lokaliti, daerah-daerah dan kawasan-kawasan PBT Selangor tidak  lagi terlalu jauh, sama ada dari aspek ekonomi, kebudayaan mahupun aspek-aspek lain.

 

Saudara-saudara, tuan-tuan, puan-puan yang saya kasihi sekalian,

 

 

Kembali saya nyatakan apa yang ada dalam Belanjawan 2019 yang lepas iaitu bagaimana kita mahu mengadakan Gugusan Industri Teknologi Tinggi dan Science Park (Shah Alam – Subang Jaya – Puchong – Cyberjaya). Kita mempunyai Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa (iaitu di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang)

 

Gugusan Industri Automotif dan Industri Sokongan (Serendah– Sg. Choh – Bukit Beruntung); Gugusan Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim (Pelabuhan Klang – Pulau Indah – Telok Gong – Sijangkang)

 

Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan (Telok Panglima Garang, Rawang – Kuang dan Bernam Jaya – Lembah Beringin); Gugusan Eko-Pelancongan (Kuala Selangor, Taman Negeri dan Pesisiran Pantai Morib – Sg. Pelek)

 

Gugusan Perikanan dan Akuakultur (Kuala Selangor – Sabak); Gugusan Pertanian dan Industri Asas Tani (Tanjung Karang –Sg. Air Tawar)

 

Gugusan Ekonomi Bandar (merangkumi 13 Pusat pertumbuhan strategik); Gugusan Pendidikan (meliputi kawasan Gombak, Serdang dan kawasan meliputi daerah Hulu Langat).

 

Inilah gugusan-gugusan yang kita akan laksanakan, dan sudah pasti ia bukan hanya satu perancangan setahun, yang akan memerlukan sedikita fokus dan sedikit penelitian insya-Allah pentadbiran ini akan memberikan pengumuman-pengumuman yang penting dan memastikan kita berada dalam keadaan terbaik dan melaksanakan apa yang telah dirangka dan dirancang berdasarkan apa yang sudah ada, aset yang sudah ada, dan kemampuan yang ada dan potensi yang ada di setiap lokaliti-lokaliti yang saya sebutkan tadi.

 

Perkara kedua yang diperkatakan dan seringkali dianggap sebagai satu perkara yang merugikan secara ‘politik’ yang disebut tentang penjajaran semula Inisiatif Peduli Rakyat.

 

PENJAJARAN INISIATIF PEDULI RAKYAT

 

Saudara-saudari tuan-tuan  puan-puan sekalian,

 

 

Sudah pasti, kita sudah melalui 10 tahun yang lalu dengan imej yang begitu terkenal, imej yang begitu diperkatakan di seluruh Malaysia dan mungkin di sebut di beberapa tempat di dunia bahawa kita menjadi sebuah negeri yang ehsan, yang penyayang, yang menjaga dan menghargai setiap rakyatnya, dengan penghargaan yang diberikan kepada mereka yang baru lahir sampailah ke liang lahad atau mereka yang keluarga mereka mendapat berita kehilangan keluarga dan juga orang yang mereka sayangi.

 

Namun begitu, 2019 setelah kita melalui 10 tahun dengan pengalaman-pengalaman yang kita sebutkan tadi, ia bukan suatu yang buruk. Ia adalah suatu ‘benchmark’ yang baik, malahan rakyat negeri merasa secara terus apakah erti dan makna pembangunan yang telah dilaksanakan, yang kita telah jalankan.

 

Namun, kerajaan negeri beranggapan pemberian-pemberian itu boleh digubah, boleh dilaksanakan, boleh diarahkan, boleh disusun semula dan dikoordinasi, bukan hanya dalam erti pemberian, tetapi juga dalam erti pemerkasaan sesuai dengan hasrat untuk memberdayakan rakyat.

 

Sebab itu kita mensejajarkan semula IPR ini dengan harapan ia akan memberi nilai pemberdayaan dengan sokongan dalam bentuk pendirian itu kita teruskan, tapi lebih kita berikan pada yang terfokus; pada mereka yang sangat memerlukan; pada mereka yang memerlukan suntikan kewangan-kewangan tertentu dan juga bantuan-bantuan subsidi secara terus sepertimana dilaksanakan sebelum ini.

 

Jadi saya harap bersedia kita semua menerima dan menjelaskan kepada rakyat di bawah niat kita. Kadang-kadang cara kita berkomunikasi, berhubung dengan semua—itulah yang akan sedikit sebanyak memberikan impak dan kesan bagaimana kita menjelaskan.

 

Kalau kita beritahu “ya, KISS ni memang kita akan kurangkan”. Kita beritahu kurangkan sahaja. “Tahu kenapa?”, “Oh, itu boleh tanya exco”. Ada pula terus ‘bypass’: “tanya pejabat menteri besar”. Sebab itu saya berharap agar dasar-dasar ini difahami dengan terperinci kita jelaskan: “kita buat ini bukan kerana kita nak potong semua, kerana kita juga ada kos untuk pemberdayaan”.

 

Bila kita beri RM500 untuk mereka yang berkahwin, kita tukar kepada kursus dan latihan program perkahwinan yang lebih komprehensif, ia juga melibatkan kursus, ia juga melibatkan kos. Ia juga melibatkan sumber. Dan kita kena jelaskan begitu kepada rakyat dan kadangkala mereka juga ingin tahu tapi kalau cara kita beritahu dan cara kita jelaskan itu jelas, mereka akan mendapat lebih kefahaman kerana kita tidak mahu akhirnya pemberian-pemberian itu hanya menjadi kebergantungan atau ‘dependency’ rakyat kepada agensi dan kerajaan dan kesannya nanti adalah daripada jangka panjang ianya tidak baik.

 

Ia sedikit-sebanyak melunturkan sedikit kemandirian atau kebebasan seorang rakyat yang secara tidak langsung terganggu dengan proses demokrasi dan pemahaman mereka.

 

KITA SEMUA PEMEGANG TARUH

 

Saudara-saudari tuan-tuan puan-puan sekalian,

 

 

Semalam, saya menerima undangan ke Wilayah Jawa Barat dan berkesempatan bersama dengan Walikota Bandung dan Gabenor Wilayah Jawa Barat iaitu Sdr Ridwan Kamil. Pertemuan itu membolehkan saya bertukar-tukar fikiran dengan dua pemimpin tersebut di samping mengungkapkan dengan penuh yakin kehebatan Negeri Selangor sebagai negeri termaju dan negeri terbaik di Malaysia.

 

Kehebatan tersebut ternyata sekali lagi bukan milik Menteri Besar, bukan milik PH sahaja, tetapi saya percaya, kehebatan negeri kita adalah milik kita bersama, terutamanya penjawat awam yang bekerja keras memastikan kemajuan negeri.

 

Justeru sebagai ‘stakeholder’ atau pemegang taruh, jangan kita biarkan sikap sambil lewa dan kejayaan-kejayaan yang seringkali disebut-sebutkan; kita menyumbang terbesar kepada negara; kita mencatatkan pelaburan terbesar; kita mencatatkan aras pembangunan yang tinggi melampaui daripada kadar nasional; angka-angka ini baik sebagai motivasi, tetapi dalam masa yang sama, janganlah ia membuat kita leka dan terpesona dengan kegemilangan dan kejayaan-kejayaan sebelum ini. Kita mesti melipatgandakan usaha, menggiatkan ikhtiar dan membuat inovasi dan juga perubahan-perubahan yang penting dalam memastikan dan mengangkat Selangor kekal sebagai gedung ekonomi, sebagai kuasa ekonomi, dan juga sebagai “game changer” dengan izin, ataupun sebagai pengemudi kepada perubahan dan juga ‘reform’ dalam negara kita.

 

Sekiranya kita berjaya melaksanakan agenda klusterisasi tersebut, kita berjaya mencipta banyak peluang pekerjaan dan melebarkan akses khazanah ekonomi kepada khalayak, kita berjaya melaksanakan penjajaran semula IPR di mana rakyat kita akan lebih mandiri lebih bebas lebih perkasa lebih berdaya, lebih hak upaya dan sebagainya, saya percaya insya-Allah bukan sahaja kita menjadikan penjawat-penjawat awam sebagai penjawat awam terbaik, rakyat Selangor juga akan dinilai sebagai rakyat terbaik di Malaysia dan insya-Allah di peringkat dunia dan juga di mana sahaja kita berada selepas ini.

 

PEMBERDAYAAN PERKHIDMATAN AWAM

 

Sudah pasti, 2019 bukanlah suatu yang menjanjikan semua sempurna. 2019 pasti ada liku-liku dan cabaran yang menanti; 2019 pasti ada halangan dan kekangan yang akan menghalang kita daripada melaksanakan tugas dan melaksanakan tanggungjawab yang kita lakukan.

 

Namun, jika kita mempunyai keazaman dan keiltizaman, jika kita menerapkan sifat amanah yang saya sebutkan tadi, di samping kita menambah ilmu dan pengetahuan yang ada, kita mengukuhkan daya intelek dan focus kita, saya percaya tidak ada yang mustahil yang kita boleh capai, malahan kita boleh mencatatkan satu tanda aras baru, corak dan gaya pentadbiran dan pengurusan negeri kepada negeri-negeri lain dan menyediakan kita untuk bertarung di peringkat serantau pada tahun 2025.

 

Saudara-saudari sekalian,

 

 

Hari ini beberapa inisiatif pemberdayaan Penjawat Awam Negeri Selangor sepanjang tahun 2019, yang telah dimudahcara oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

 

Antaranya hari ini ialah pelancaran ataupun pengumuman tentang Selangor Inteligent SIM (SIS), merupakan penawaran khusus buat penjawat awam Kerajaan Negeri Selangor yang ditawarkan oleh MAXIS Berhad.

 

Pakej mampu milik ini, bukan sekadar menjamin penjimatan kepada penjawat awam yang melanggan, tetapi juga dikembalikan sejumlah RM2 kepada Tabung Kebajikan SUK Selangor dan Program Khairat Kematian berjumlah RM200 diaktifkan bagi setiap penjawat awam yang melanggan pakej khas ini yang diuruskan dan dimudahcara oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan juga MAXIS Berhad.

 

Selain itu, pelancaran Naskah SPICE2S yang mengangkat nilai-nilai penjawat awam berharga ke arah memperkemaskan perkhidmatan awam Negeri Selangor yang menjadi barisan hadapan dalam usaha merealisasikan Selangor selaku ‘Smart State 2025’ melalui Perkhidmatan Awam Pintar (Smart Civil Service).

 

 

 

 

 

 

PENUTUP

 

Mengakhiri ucapan hari ini, saya mahu menyampaikan satu lagi pesan, barangkali dianggap remeh, namun besar sekali maknanya terutamanya buat pembangunan bangsa.

 

Saya berharap kita semua dapat melibatkan diri dengan serius dalam usaha untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu itu hebat bukan sekadar kedudukannya dijamin Perlembagaan Persekutuan. Ianya hebat dan bermartabat kerana keindahannya, kehalusannya dan mampu menjadi wadah sebagai bahasa ilmu serta intelektual.

 

Bukanlah saya mereka-reka fakta ini. Sejarahwan asal Belanda Bernard Vlekke dalam sebuah karyanya telah mengakui kehebatan Bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’ atau bahasa pertuturan seluruh Nusantara. Kini Bahasa Melayu digunakan oleh 300 juta manusia. Betapa hebatnya potensi Bahasa Melayu ini.

 

Makanya Selangor haruslah menjadi pelantar utama melonjakkan serta memartabatkan Bahasa Melayu. Ketika kita membina jaringan ke luar, terutamanya di sekitar Asia Tenggara, pembangunan jati diri tidak boleh sama sekali kita abaikan. Saya yakin Bahasa Melayu cukup ampuh sebagai wahana pembangunan jati diri bangsa.

 

Jati diri yang kuat menjadikan kita bangsa yang berkeyakinan dan yakin dan tidak mudah diperlekeh. Bangsa yang yakin berbeza dengan bangsa yang disebut Immanuel Kant sebagai “Ketidakmatangan yang dipaksakan kepada dirinya sendiri”. Ketidakmatangan di sini bukanlah bermaksud keanak-anakan. Ianya adalah ketakutan diri sendiri untuk berfikir, merasakan kefahaman kita jauh lebih rendah atau merasakan kita ini kurang bijak berbanding dengan bangsa dan kelompok lain.

 

Bangsa yang berkeyakinan tidak akan menjerit tidak tentu arah. Kita berani melawan hujah dengan hujah. Kita tenang, menguasai dan memimpin. Itulah bangsa yang mempunyai keyakinan tinggi. Oleh itu, Selangor sebagai sebuah negeri termaju amatlah sesuai sebagai peneraju untuk membugar keyakinan diri dan jati diri bangsa. Ini semua hanya dapat direalisasikan jika penjawat awam di hadapan saya bersama-sama berkongsi cita-cita ini.

 

Saudara-saudari dan tuan-puan yang saya kasihi sekalian,

 

 

Dalam mesej pertama 2019 ini, sekali lagi saya simpulkan, yang penting kepada kita, bagaimana sikap dan pendirian dan nilai diri kita. Sifat amanah, keyakinan kita, kebolehan kita, kemampuan kita, itulah antara peratusan terbesar yang akan menjamin kejayaan serta kemampuan serta kekuatan kita bersama ke arah menjadi negeri yang paling maju dan meneruskan reputasi dan status kita sebagai ‘game changer’ atau pengemudi kepada perubahan dan kejayaan dalam negara kita.

 

Kita telah melakukan perubahan demi perubahan dan sudah pasti aspek-aspek perubahan ini harus kita terapkan, harus kita fahami, kerana pelan dan arus perubahan yang kita laksanakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah pelan kita bersama yang kita rangka bersama sejak tahun 2018 yang lepas dan insya-Allah kalau semua kita fahami, kita akan berjaya menggerakkan perubahan ini kepada rakyat, sesuai dengan ikrar kita membawa perubahan dan membawa kemajuan kepada rakyat.

 

Dan ketiga: aspek yang paling penting adalah keyakinan kita bahawa kemampuan kita termasuklah aspek mempertahankan jati diri kita. Saya sentuh tadi soal bahasa -bahasa ini nampak kecil- tapi itulah nilai yang harus kita pertahankan. Kalau kita pintar, tak kira bahasa apa pun kita sampaikan, akhirnya ia akan dihargai oleh dunia. Kalau kita bijak, kalau kita betul, tak kira bagaimana kita sampaikan dan bahasa apa kita sampaikan, insya-Allah kita akan menjadi tetap dihargai dan dipelopori dan diiktiraf oleh dunia.

 

Insya-Allah inilah resepi kita, Selangor sebagai negeri yang maju bukan maju untuk sesetengah pihak tetapi sebagai Selangor yang maju bersama dengan rakyat dan negara Malaysia.

 

Selamat tahun baru 2019.

 

Sekian.

 

 

Transkrip Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor – Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Selangor Januari 2019