UCAPAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR SEWAKTU PERHIMPUNAN BULANAN PENJAWAT AWAM SELANGOR JANUARI 2019

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Setiap kali tiba tahun baharu, ramai antara kita akan perbaharui tekad dan keazaman demi untuk menjadi lebih baik.

Kita berazam untuk menjadi lebih baik bukan sekadar untuk diri kita semata-mata, akan tetapi juga demi keluarga, masyarakat, negeri khususnya Negeri Selangor dan negara yang kita cintai.

Memasuki tahun baharu seringkali mengejutkan kesedaran kita bahawa kita semua merupakan “servant to the people”, yang berbakti kepada rakyat agar kehidupan mereka bertambah baik setiap tahun.Kesedaran ini mengingatkan kita agar tidak sambil lewa dengan tugasan seharian. Kesedaran ini membolehkan kita menghimbau samada kita sudah melakukan yang terbaik pada tahun sebelumnya. Justeru ia membakar semangat kita untuk berkhidmat dengan lebih baik pada tahun ini.

Walaupun tempoh sambutan tahun baharu sudah agak lama berlalu dan bulan Januari sudah tiba ke penghujung, saya mahu mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan selamat tahun baharu kepada seluruh penjawat awam Negeri Selangor;dan saya berdoa semoga pada 2019 ini kita semua diampuni, diberkati dan diberi kekuatan oleh Allah SWT untuk menjalankan amanah yang ditaklifkan kepada kita.

Sayugia pada hari ini kita semua bertafakur menghayati makna amanahtersebut. Al-Quran al-Karim dalam Surah al-Mukminun ayat 8 menyebut:

وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ

Ayat tersebut bermaksud: “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya”. Allah SWT memuji mereka yang menjaga dan melaksanakan amanah sebagai mereka yang berhak mewarisi bumi ini. Dalam tafsirnya yang terkenal itu, Ibnu Katsir rahimahulLah menggambarkanorang yang menjaga amanah ini sebagai “mereka diberi kepercayaan, maka mereka tidak akan mengkhianatinya tetapi mereka menunaikannya kepada yang berhak. Dan jika mereka berjanji atau melakukan akan perjanjian, maka mereka menepatinya, tidak seperti sifat-sifat orang munafik.”

Oleh itu, saya menyeru kepada diri saya sendiri, kepada seluruh staf di pejabat saya dan buat seluruh penjawat awam Negeri Selangor agar kita jangan sesekali memandang remeh amanah yang diberikan dan pertanggungjawaban untuk kita semua melaksanakan semua tugas demi kemaslahatan rakyat negeri ini.

 

Penjawat awam yang dihormati,

Pada bulan November tahun lepas, saya bentangkan Ucapan Belanjawan Negeri Selangor untuk tahun 2019. Saya mahu merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada anda semua yang bertungkus lumus memastikan Belanjawan itu dapat disempurnakan.

Buat khalayak umum, sudah pasti pembentangan ucapan belanjawan merupakan suatu “policy speech” yang signifikan. Akan tetapi persembahan pada 23hb November itu merupakan sebahagian utama dari usaha keras penjawat awam, terutamanya pihak Pejabat Perbendaharaan, Unit Perancang Ekonomi, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pejabat Menteri Besar. Manakala itu kerja keras tidak terhenti setakat itu sahaja, ianya berterusan selepas hari ucapan belanjawan agar segala dasar yang diungkapkan oleh Belanjawan 2019 terlaksana.

Amatlah mustahak agar saudara-saudari menyedari dasar-dasar yang termaktub dalam Belanjawan Kerajaan Negeri itu merupakan dasar-dasar yang digarap kita bersama.Ianya bukan belanjawan Amirudin Shari, bukannya belanjawan Pejabat Menteri Besar. Ianya Belanjawan Negeri Selangor untuk Rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan. Justeru menjadi kewajipan kita semua untuk menjayakan polisi-polisi kerajaan negeri tersebut

KLUSTERISASI

Hadirin sekalian,

Ucapan Belanjawan 2019 telah menggariskan beberapa dasar utama demi merancakkan ekonomi, memberdayakan rakyat dan mensejahterakan negeri. Sementara belenjawan negeri pada tahun-tahun sebelum ini menumpukan peranan sebagai sebuah negeri berkebajikan, namun pada kali ini Belanjawan 2019 mengambil langkah progresif berdasarkan keperluan negeri serta rakyat Negeri Selangor.

Kita telah memperkenalkan Klusterisasi Wilayah yang berteraskan potensi dan kekuatan setempat yang ada, kemudiannya potensi serta kekuatan tersebut diperhebat agar gugusan-gugusan wilayah tersebut mampu, antara lain,mencipta kekuatan ekonomi dan peluang pekerjaan baharu kepada rakyat Negeri Selangor.

Demi mencapai cita-cita tersebut, Negeri Selangor mesti terus menjadi tumpuan pelabur dan tenaga kerja. Dengan pertumbuhan penduduk yang relatif tinggi dan taraf hidup yang terus meningkat Selangor perlu menjana aktiviti ekonomi yang mampu menyediakan pekerjaan dan memberikan pendapatan tinggi kepada isi rumahnya dari purata RM7,023 pada tahun 2012 kepada purata RM15,000 pada tahun 2035.

Bagi mengekalkan prestasi Negeri Selangor sebagai pemacu ekonomi negara dan berkembang terus maju, aktiviti ekonomi akan dipelbagaikan melalui penggunaan sumber ekonomi semulajadi yang mampan sama ada yang boleh diperbaharui atau tidak boleh diperbaharui serta memperkenalkan asas ekonomi baharu yang inovatif. Kepelbagaian ekonomi ini akan diterjemahkan ke dalam bentuk lokaliti bagi mewujudkan pengkhususan aktiviti dan membolehkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan yang bersesuaian secara bersepadu dan efisien.

Kerajaan Negeri melalui pelbagai agensi pelaksana di bawahnya sedang mengatur strategi dan usaha bagi memastikan Negeri Selangor terus ke hadapan baik dalam bidang ekonomi, sosial dan alam sekitar. Strategi terbaharu yang akan dilaksanakan adalah klusterisasi ataupembangunan gugusan seperti berikut:

  • Gugusan Industri Teknologi Tinggi dan Science Park (Shah Alam – Subang Jaya – Puchong – Cyberjaya)
  • Gugusan Industri Aeropolis dan Aeroangkasa (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS) Subang)
  • Gugusan Industri Automotif dan Industri Sokongan (Serendah– Sg. Choh – Bukit Beruntung)
  • Gugusan Industri Sokongan Pelabuhan dan Maritim (Pelabuhan Klang – Pulau Indah – Telok Gong – Sijangkang)
  • Gugusan Industri Terpilih dan Industri Perkhidmatan (Telok Panglima Garang, Rawang – Kuang dan Bernam Jaya – Lembah Beringin)
  • Gugusan Eko-Pelancongan (Kuala Selangor, Taman Negeri dan Pesisiran Pantai Morib – Sg. Pelek)
  • Gugusan Perikanan dan Akuakultur (Kuala Selangor – Sabak)
  • Gugusan Pertanian dan Industri Asas Tani (Tanjung Karang –Sg. Air Tawar)
  • Gugusan Ekonomi Bandar (merangkumi 13 Pusat pertumbuhan strategik).
  • Gugusan Pendidikan (meliputi kawasan Gombak, Serdang dan Hulu Langat).

Manakala itu usaha giat akan dilaksanakan untuk menggalakkan ekonomi berasaskan pengetahuan di pusat-pusat pertumbuhan strategik yang merangkumi sektor perkhidmatan seperti sektor perkhidmatan sokongan industri seumpama perkhidmatan logistik berintegrasi, perkhidmatan berteraskan ICT, perkhidmatan perdagangan profesional dan perkhidmatan pengagihan barangan di pusat-pusat pertumbuhan strategik yang telah dikenalpasti.

Kerajaan Negeri komited untuk menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi, prasarana fizikal, sosial dan persekitaran yang kondusif bagi menarik dan menyokong aktiviti k-ekonomi negeri di semua daerah.

PENJAJARAN INISIATIF PEDULI RAKYAT

Saudara dan saudari yang saya hormati,

Sebagai sebuah negeri yang Peduli Rakyat, Kerajaan Negeri sentiasa proaktif dan kreatif dalam mempelbagai dan memberi nilai tambah kepada 42 program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi memastikan hanya program-program terbaik untuk manfaat rakyat di Selangor.

Bagi tahun 2019, agenda pelaksanaan program-program IPR diteruskan dengan mengambil kira pelaksanaan yang komprehensif dan tidak hanya menyajikan pemberian bantuan sahaja tetapi khusus untuk mempertingkatkan keupayaan serta pemberdayaan kepada para penerima manfaat IPR di Selangor.

Melalui proses penjajaran semula dan usaha empowerment IPR Selangor, kita berharap penerima IPR mampu untuk berdikari dan tidak lagi mempunyai sikap kebergantungan kepada bantuan-bantuan kewangan Kerajaan Negeri semata-mata.

KITA SEMUA PEMEGANG TARUH

Semalam, saya menerima undangan ke Wilayah Jawa Barat dan berkesempatan bertemu dengan Walikota Bandung dan Gabenor Wilayah Jawa Barat iaitu Sdr Ridwan Kamil. Pertemuan itu membolehkan saya bertukar-tukar fikiran dengan dua pemimpin tersebut di samping mengungkapkan dengan penuh yakin kehebatan Negeri Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

Kehebatan tersebut ternyata milik tuan-tuan. Kehebatan Selangor adalah hasil usaha keras penjawat awam sebagai pemegang taruh utama kejayaaan tersebut.

Justeru sebagai pemegang taruh utama, jangan kita biarkan sikap sambil lewa menelan kita dan menggelincirkan kejayaan-kejayaan sebelum ini. Kita mesti melipatgandakan usaha dan menggembeling segenap fikiran untuk mengangkat Selangor ke suatu aras baharu.Kerana, sebagai kuasa ekonomi di Malaysia, pencapaian negeri ini adalah “game changer” buat seluruh negara.

Sekiranya kita berjaya melaksanakan agenda klusterisasi tersebut, kita akan mencipta banyak peluang pekerjaan dan melebarkan akses khazanah ekonomi kepada khalayak. Yakinlah saudara-saudari sekalian, Kemakmuran Selangor juga merupakan Kesejahteraan Malaysia. InshaAllah, kita mampu melakukannya.

PEMBERDAYAAN PERKHIDMATAN AWAM

Hari ini beberapa inisiatif pemberdayaan Penjawat Awam Negeri Selangor sepanjang tahun 2019, yang dimudahcara oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Antaranya ialah Selangor Inteligent SIM (SIS), merupakan penawaran khusus buat penjawat awam Kerajaan Negeri Selangor yang ditawarkan oleh MAXIS Berhad.

Pakej mampu milik ini, bukan sekadar menjamin penjimatan kepada penjawat awam yang melanggan, tetapi juga dikembalikan sejumlah RM2 kepada Tabung Kebajikan SUK Selangor dan Program Khairat Kematian sejumlah RM200 diaktifkan bagi setiap penjawat awam yang melanggan pakej khas ini.

Selain itu, pelancaran Naskah SPICE2S yang mengangkat nilai-nilai penjawat awam berharga ke arah memperkemaskan perkhidmatan awam Negeri Selangor yang menjadi barisan hadapan dalam usaha merealisasikan Selangor selaku Smart State 2025 melalui Perkhidmatan Awam Pintar (Smart Civil Service).

PENUTUP

Mengakhiri ucapan hari ini, saya mahu menyampaikan satu lagi pesan, barangkali dianggap remeh, namun besar sekali maknanya terutamanya buat pembangunan bangsa.

Saya berharap kita semua dapat melibatkan diri dengan serius dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Bahasa Melayu itu hebat bukan sekadar kedudukannya dijamin Perlembagaan Persekutuan. Ianya hebat dan bermartabat kerana keindahannya, kehalusannya dan mampu menjadi wahana sebagai bahasa ilmu serta intelektual.

Bukanlah saya mereka-reka fakta ini. Sejarahwan asal Belanda Bernard Vlekke dalam sebuah karyanya telah mengakui kehebatan Bahasa Melayu sebagai lingua franca atau bahasa pertuturan seluruh Nusantara. Kini Bahasa Melayu digunakan oleh 300 juta manusia. Betapa hebatnya potensi Bahasa Melayu ini.

Makanya Selangor haruslah menjadi pelantar utama melonjakkan serta memartabatkan Bahasa Melayu. Ketika kita membina jaringan ke luar, terutamanya di sekitar Asia Tenggara, pembangunan jati diri tidak boleh sama sekali diabaikan. Saya yakin Bahasa Melayu cukup ampuh sebagai wahana pembangunan jati diri bangsa.

Jati diri yang kuat menjadikan kita bangsa yang berkeyakinan dan tidak mudah diperlekeh. Bangsa yang yakin berbeza dengan bangsa yang disebut Immanuel Kant sebagai “Ketidakmatangan yang dipaksakan oleh diri sendiri”. Ketidakmatangan di sini bukanlah bermaksud keanak-anakan. Ianya adalah ketakutan diri sendiri untuk berfikir, merasakan kefahaman kita jauh lebih rendah atau merasakan kita ini kurang bijak berbanding bangsa lain.

Bangsa yang berkeyakinan tidak akan menjerit tidak tentu arah. Kita berani melawan hujah dengan hujah. Kita tenang, menguasai dan memimpin. Itulah bangsa yang mempunyai keyakinan tinggi. Oleh kerana itu, Selangor sebagai sebuah negeri termaju amatlah sesuai sebagai peneraju untuk membugar keyakinan dan jati diri bangsa. Ini semua hanya dapat direalisasikan jika penjawat awam di hadapan saya ini bersama-sama berkongsi cita-cita ini.

Sekian.

Ucapan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor – Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Selangor Januari 2019