MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR SERTA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

Jumaat, 4hb Januari 2019

YAB Tuan Haji Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor dan YB. Dr.  Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli telah menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada hari ini.

Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ke-3 kepada Perjanjian Utama di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) itu telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mewakili Kerajaan Persekutuan manakala Kerajaan Negeri Selangor diwakili oleh YB Dato’ Mohd Amin Bin Ahmad Ahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. Turut hadir menyaksikan majlis perjanjian tersebut ialah YB. Mulia Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji,
Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli dan YBhg. Datuk Seri Dr. Nik Norzul Thani bin Nik Hassan, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PAAB.

Di bawah perjanjian tambahan yang ditandatangani ini, Kerajaan Persekutuan melalui PAAB telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM1.9 bilion bagi membantu Air Selangor mengambil alih Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn. Bhd. (SPLASH). Melalui persefahaman dan kerjasama erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri, Air Selangor telah berjaya melaksanakan obligasinya di bawah Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 2014 untuk mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi iaitu Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB), Konsortium ABASS Sdn. Bhd. (ABASS), Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd.
(SYABAS) dan SPLASH. Pengambilalihan PNSB, ABASS dan SYABAS telah selesai dilaksanakan sebelum ini dengan nilai pengambilalihan berjumlah RM1.68 bilion.

Kejayaan pengambilalihan ini akan membolehkan Air Selangor beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang mana di kawal selia melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).

 

LATAR BELAKANG PERJANJIAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR SERTA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

1. Skim Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi mewujudkan industri perkhidmatan bekalan air yang lebih mampan, terjamin dan berkualiti kepada pengguna.

2. Melalui penstrukturan ini, pihak Air Selangor akan memberi tumpuan kepada aspek operasi dan penyelenggaraan sistem bekalan air agar lebih efisien, efektif bagi menjamin bekalan air yang mencukupi, berkualiti dan berterusan kepada rakyat Selangor.

3. Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dimulakan sejak tahun 2010. Langkah tersebut telah diperkemaskan dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor pada 26 Februari 2014 dan disusuli dengan Head of Agreements (HoA) pada 1 Ogos 2014.

4. Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya telah ditandatangani pada 12 September 2014 antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan PAAB.

5. Perjanjian-perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor serta Wilayah Persekutan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah seperti berikut:

(a) Perjanjian Utama di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB);

(b) Perjanjian Kemudahan di antara PAAB dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd;

(c) Perjanjian Pajakan di antara PAAB dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd;

(d) Perjanjian Penyelesaian di antara PAAB dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ; dan

(e) Perjanjian Izin Guna di antara PAAB dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

6. Menerusi perjanjian-perjanjian ini, PAAB akan mengambilalih pinjaman pinjaman Kerajaan Negeri Selangor berkaitan bekalan air serta memberi pembiayaan modal kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd bagi menaiktaraf dan memperbaharui aset-aset berkaitan bekalan air sedia ada serta membina infrastruktur air baharu. Pembiayaan oleh PAAB ini adalah jauh lebih rendah berbanding pembiayaan oleh bank komersial dan ia melibatkan tempoh
pembayaran sewa pajakan yang lebih panjang iaitu sehingga 45 tahun.

7. Air Selangor akan beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, yang mana akan dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655).

8. Melalui sistem ini prestasi syarikat dalam melaksanakan perkhidmatan serta kualiti perkhidmatan bekalan air akan dikawal selia melalui petunjuk prestasi utama serta lain-lain syarat perlesenan yang ditetapkan oleh SPAN. Oleh yang demikian, kepentingan semua pihak yang berkepentingan khususnya
pengguna akan sentiasa terjaga serta terjamin dari semasa ke semasa.

Dikeluarkan bersama oleh:
Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor
Pejabat Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli

/ In Kenyataan Media / By admin / Comments Off on MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN PENSTRUKTURAN SEMULA INDUSTRI PERKHIDMATAN BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR SERTA WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA