UCAPAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR DI MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN TAMBAHAN KETIGA KEPADA PERJANJIAN UTAMA PENSTRUKTURAN INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR NEGERI SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim

Salutation kepada :

  • YB Tuan Dr. Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli
  • YBM Tengku Zulpuri bin Raja Puji, Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli.
  • YB Dato’ Mohd Amin bin Ahmad Ahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
  • YBhg Dato’ Dr. Tan Yew Chong, Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.
  • YB Dato’ Nor Azmie Bin Diron, Pegawai Kewangan Negeri Selangor.
  • YB Exco Kerajaan Negeri Selangor.
  • YB Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor.
  • YBhg Datuk Seri Dr. Nik Norzrul Thani Bin Nik Hassan Thani, Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad.
  • Suhaimi Bin Kamaralzaman, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
  • Abdul Hadi Bin Ali, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurusan Aset Air Berhad.
  • Ahli-ahli Lembaga Pengarah Air Selangor, PAAB, Ketua-ketua Jabatan, tetamu-tetamu jemputan, rakan-rakan media, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

 

Assalammualaikum & Salam Sejahtera,

Hari ini merupakan hari yang amat bermakna dalam industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di mana akan termeterainya majlis menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga Kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air.

Dengan termeterainya majlis menandatangani perjanjian pada hari ini, maka tercapailah hasrat untuk pengurusan industri perkhidmatan air yang holistik di bawah satu operator yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi merealisasikan mutu dan kualiti perkhidmatan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mampan demi memelihara kepentingan negeri dan rakyat secara umum.

Sebelum ini, pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air yang lain termasuk, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) telah pun dilaksanakan semenjak penghujung 2015.

Selepas penstrukturan ini dimuktamadkan sepenuhnya termasuk dengan pengambilalihan SPLASH, Air Selangor akan menjadi operator tunggal yang akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air secara holistik dan akan dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan.

Untuk makluman, kos pengambilalihan SPLASH adalah ditanggung sepenuhnya oleh Air Selangor, dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM1.9 bilion melalui dana yang disalurkan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan baki RM650 juta akan dibayar secara ansuran selama sembilan (9) tahun.

Bagi pembiayaan yang diperolehi daripada PAAB, kaedah pembayaran semula ke atas pembiayaan tersebut akan dibuat melalui bayaran sewa pajakan tempoh jangka panjang selama 45 tahun oleh Air Selangor kepada PAAB.

Selain itu, bon dan pinjaman yang terhutang oleh syarikat-syarikat konsesi yang berjumlah lebih daripada RM8 bilion juga akan diambilalih oleh PAAB dan disusun semula ke dalam sewa pajakan jangka Panjang. Malahan, pinjaman berkaitan air yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri daripada Kerajaan Persekutuan yang berjumlah kira-kira RM1.1 bilion juga akan disusun semula ke dalam sewa pajakan jangka panjang. Sudah tentu ini akan memberi impak yang positif di dalam menambahbaik kedudukan kewangan Kerajaan Negeri.

Kejayaan penstrukturan juga bererti bahawa semua konsesi air akan ditamatkan dan pelbagai lapisan keuntungan akan berakhir. Air Selangor akan dapat mengurangkan kos air terawat kepada kadar yang lebih munasabah dan pengurangan kos operasi ini akan memberi kesan positif terhadap kecekapan operasi Air Selangor.

Dengan muktamadnya penstrukturan ini, Air Selangor juga telah merancang perbelanjaan bagi kerja-kerja modal (CAPEX) sebanyak RM30 billion untuk tempoh 30 tahun bermula pada tahun 2019, bagi meningkatkan sistem perkhidmatan air kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Program bagi pelaburan CAPEX ini adalah berlandaskan pelan strategik operasi (operational strategic plans) yang telah dirangka bagi memenuhi keperluan semasa akan datang.

Perancangan bagi memuktamadkan penstrukturan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bukanlah sesuatu yang mudah dan telah bermula sejak tahun 2007.

Dengan itu, pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui Pengurusan Air Selangor akan terus memberikan komitmen bagi memberikan perkhidmatan pembekalan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mampan demi memelihara kepentingan kepada pengguna.

Alhamdullillah dengan usaha, kerjasama dan komitmen semua pihak terutamanya dipihak Kementerian Air, Tenaga dan Sumber Asli, Kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Air Selangor, Pengurusan Aset Air Berhad dan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, hasrat kita untuk memuktamadkan penstrukturan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dapat dicapai. Mewakili kerajaan Negeri Selangor, saya mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan dan sekalung tahniah kepada semua yang terlibat.

Sekian, wassalammualikum wbt.

/ In Ucapan / By admin / Comments Off on UCAPAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR DI MAJLIS MENANDATANGANI PERJANJIAN TAMBAHAN KETIGA KEPADA PERJANJIAN UTAMA PENSTRUKTURAN INDUSTRI PERKHIDMATAN AIR NEGERI SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR DAN PUTRAJAYA