UCAPAN TAKZIAH BUAT AHLI KELUARGA YB EDDIEN NG TIEN CHEE ADUN BALAKONG

20 Julai 2018 / 7 Zulkaedah 1439H.

Saya menyatakan rasa dukacita atas pemergian Ahli Dewan Negeri Selangor Kawasan Balakong, Yang Berhormat Eddie Ng Tien Chee. Beliau dikhabarkan terlibat dengan kemalangan maut pada awal pagi semalam. Ng Tien Chee, atau lebih dikenali sebagai Eddie Ng merupakan Ahli Dewan Negeri (ADN) yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk penduduk Balakong serta komited mewakili suara mereka dalam Dewan Undangan Negeri Selangor sepanjang tempoh beliau berkhidmat sebagai ADN bermula tahun 2013.

Dari awal saya mengenali mendiang, Sdr Eddie tidak lekang dengan senyuman dan sentiasa sedia membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.

Beliau juga giat aktif dalam Pakatan Harapan Selangor menerusi Unit Tindak Parti Tindakan Demokratik (DAP). Pemergian Saudara Eddie sudah pasti kehilangan yang amat besar buat Pakatan Harapan dan kekosongan yang ditinggalkan beliau sudah pasti turut dirasai oleh penduduk di kawasan Balakong dan rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.

Kehilangan ini merupakan yang kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas pemergian ADUN Sungai Kandis, Allahyarham Hj Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu. Kedua-dua Ahli Dewan Negeri ini telah banyak memberi khidmat kepada rakyat dan negeri.

Saya mengucapkan takziah kepada isteri, anak-anak dan keluarga mendiang Saudara Eddie dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor