Perutusan Eidul Adha 1440 H

EIDULADHA MENGINSAFI PENGORBANAN, MENGUKUHKAN WATAN, MENERUSKAN KECEMERLANGAN.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’.

Pertama-tamanya, marilah kita dengan penuh rasa tawadhu’ menggemakan kalimah takbir dan tahmid bagi menyambut hari kebesaran umat Islam pada Hari Raya Eidul Adha yang mulia ini.

Alhamdulilah, Allah SWT masih memberikan kesempatan untuk kita merayakan Eidul Adha yang penuh barakah pada tahun ini. Eidul Adha merupakan detik untuk umat Islam menginsafi nilai pengorbanan yang telah ditunjukkan oleh nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu terutama Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s.

Ibadah korban yang dilaksanakan merupakan lambang semangat pengorbanan yang perlu ada pada setiap umat Islam, yang akan memperoleh keredhaan Allah SWT di dunia dan akhirat.

Kehadiran Eidul Adha di kala Malaysia menyambut Hari Kebangsaan pada tahun ini menuntut kita untuk sama-sama menghayati erti sebenar pengorbanan kepada negara. Eidul Adha membawa makna yang besar dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim di Malaysia. Keamanan dan keharmonian yang kita kecapi kini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu. Sayugia diinsafi, kita seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan pengorbanan mereka tidak sia-sia dan mengangkat martabat agama Islam sebagai Agama Persekutuan agar dijunjung tinggi.

Sebagai negeri contoh yang menjadi ikutan di Malaysia, Selangor sentiasa meletakkan agenda memartabatkan institusi agama Islam sebagai matlamat utama pentadbiran. Matlamat ini adalah jelas, bagi memastikan agama Islam terus makmur berkembang dengan syumul di samping menghormati adat dan ikutan agama lain. Bagi tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah mengagihkan sejumlah 1,200 ekor lembu di seluruh negeri Selangor bagi tujuan korban sempena Eiduladha. Ini adalah bertepatan dengan konsep Maju Bersama, di mana hasil negeri diagihkan untuk dinikmati oleh rakyat.

Di kesempatan ini, saya mewakili seluruh saf kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua umat Islam di seluruh dunia khususnya Muslimin dan Muslimat di negeri Selangor Darul Ehsan.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI