Perutusan Deepavali 2018

Vanakkam, En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal.
.
Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh rakyat Selangor yang menyambut perayaan ini, khususnya buat masyarakat yang beragama Hindu dan Sikh. Semestinya, sambutan perayaan Deepavali atau ‘Diwali’ begitu bermakna buat semua rakyat Malaysia kerana ia dianyam kukuh tema pengakhiran kegelapan dan kemenangan cahaya serta terbitnya sinar baharu.

Justeru ia mengingatkan saya kepada judul koleksi surat-surat Raden Adjeng Kartini yang berjudul Habislah Gelap Terbitlah Terang. Difahamkan judul itu dipilih kerana diilhami ayat al-Quran yang bermaksud “Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.”

Ternyata agama mendorong kita untuk melakukan kebaikan. Kebaikan mahukan kita meraikan cahaya dan meninggalkan kegelapan. Begitu juga perayaan seperti ini mengingatkan kita kepada kekuatan Negeri Selangor iaitu suatu masyarakat majmuk dan rencam adat budayanya.

Oleh kerana itu Selangor sentiasa dijuluki negeri emas Malaysia, “Golden State of Malaysia”, bukan sahaja kerana kemajuan fizikalnya akan tetapi juga sebagai negeri aman tenteram tempat rakyatnya berteduh mencari rezeki.

Deepavali juga membawa pengertian kejayaan ilmu pengetahuan serta kesedaran yang mengatasi keburukan dan keangkuhan. Kisah yang sering kali diceritakan mengenai sejarah Deepavali melibatkan peristiwa epik Ramayana, di mana Rama berusaha menyelamatkan isteri kesayangannya Sita dan kembali untuk memerintah kerajaan mereka dengan prinsip ‘adil’. Dan waktu mereka kembali, seluruh bandar Ayodhya dinyalakan dengan cahaya yang menjadikan Deepavali dikenali sebagai ‘Festival of Lights.

Pun demikian tidak usah dilupakan kisah kesetiaan Laxamana dan Hanuman yang setia bersama Rama melawan Ravana. Kisah mereka ini merupakan pengajaran kepada kita untuk tetap setiap di landasan perjuangan demi melaksanakan perubahan yang menyeluruh. Sekian lama kita berjuang janganlah pula kilauan kekuasaan mengelabui mata kita. Mandat yang diperolehi pada pilihanraya umum itu merupakan suatu tanggungjawab besar kepada pentadbiran Negeri Selangor.

Mandat yang diperolehi pada pilihanraya umum itu merupakan suatu tanggungjawab besar kepada pentadbiran Negeri Selangor. Makanya saya berikrar bahawasanya Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa berusaha memastikan kebajikan serta kemaslahatan seluruh masyarakat termasuklah masyarakat India dijamin dan dibela. . InsyaAllah dengan bertunjangkan cita-cita Maju Bersama, Kerajaan Negeri Selangor akan menggarap program-program pemerkasaan masyarakat India agar mereka dapat bersama-sama menikmati kemakmuran negeri ini. . Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu dan Sikh. Semoga perayaan kali ini dalam era Malaysia Baharu dapat kita hayati dengan penuh kebahagiaan bersama keluarga dan rakan taulan kita semua.

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI