PERLANTIKAN YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR KE-16

19 JUN 2018

Bismillahirahmanirahim

Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dilantik untuk memegang amanah sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor Darul Ehsan yang ke-16.

Saya menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Sultan dan Yang Dipertuan Negeri Selangor Darul Ehsan. Kasih dan amanah Tuanku ini akan patik junjung di atas batu jemala patik dengan teguh dan kukuh sesuai dengan sumpah dan ikrar patik dalam menerima jawatan ini.

Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dato’ Seri Azmin Ali yang memberikan teladan terbaik sepanjang perkhidmatannya sebagai Dato Menteri Besar Selangor selama 3 tahun 4 bulan. Sesungguhnya asas tata kelola dan pentadbiran kreatif beliau akan membantu melonjakkan Negeri Selangor ke aras yang lebih tinggi.

Di sini juga saya mengucapkan terima kasih atas kepada YAB Datuk Seri Wan Azizah, Presiden KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum KEADILAN serta seluruh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor atas dokongan dan kepercayaan untuk saya mengemudi pentadbiran Negeri Selangor. Tidak dilupakan juga, sokongan utuh rakan-rakan Pakatan Harapan.

Pentadbiran Negeri Selangor akan memastikan kesinambungan pentadbiran yang peduli rakyat, telus dan berintegriti. Saya berazam untuk meneruskan kecemerlangan Negeri Selangor sebagai Negeri Pintar Serantau atau Regional Smart State dengan kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dengan penuh rasa rendah diri dan tangan yang terbuka saya ingin mengajak anggota perkhidmatan awam Negeri Selangor, pihak korporat dan swasta, parti-parti politik dan terutama sekali rakyat Negeri Selangor untuk menggembleng tenaga memajukan Negeri Selangor yang tercinta ini.

Amirudin bin Shari
YAB Dato’ Menteri Besar
Negeri Selangor Darul Ehsan