PERLANTIKAN DYTM RAJA MUDA SELANGOR SEBAGAI PRESIDEN FAS YANG BARU

4 JULAI 2018 / 20 Syawal 1439H

Kerajaan Negeri Selangor ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj, Raja Muda Selangor yang sah dilantik sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang baru semalam. Sesungguhnya pelantikan DYTM Tuanku adalah tepat pada ketika FAS memerlukan kepimpinan yang lebih kuat dan mampu melonjak kembali imej pasukan “The Red Giants” sebagai antara pasukan terkuat rantau ini.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri Selangor turut akan memberi sokongan padu terhadap apa juga urusan yang melibatkan pengurusan pasukan Selangor FA termasuk membenarkan penggunaan Stadium Shah Alam sebagai gelanggang tuan rumah untuk pasukan Selangor FA bagi perlawanan-perlawanan akan datang.

Di atas perkara tersebut, pengurusan FAS bolehlah mula berbincang dengan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkenaan urusan jadual perlawanan. Pasukan Selangor FA juga telah mula berlatih di Padang SUK sebagai persediaan Final Shopee Piala FA 2018 dan akan terus menggunakan padang tersebut sebagai lokasi latihan pasukan.

Pastinya lebih banyak bantuan dan sokongan yang boleh dibincangkan untuk kecemerlangan Selangor pada masa hadapan. Justeru, Kerajaan Negeri Selangor dan seluruh rakyatnya mendoakan agar Allah SWT memberikan kekuatan kepada DYTM Raja Muda Selangor bagi mengemudi FAS ke satu dimensi yang baru. Ayuh bersatulah, berikan sokongan padu pada Final Shopee Piala FA 2018 Selangor menentang Pahang. Kekalkan mentaliti juara dan semoga Piala FA berjaya dibawa pulang ke Negeri Selangor.

YAB Tuan Amirudin Shari
Dato’ Menteri Besar Selangor