Merdeka

AlhamdulillahAlhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya kita dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke 61 pada kali ini. Tarikh keramat 31 Ogos membawa kita merenungi kembali makna kemerdekaan. Kira-kira pada detik ini 61 tahun yang lalu, bendera Union Jack telah diturunkan buat kali terakhir di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad menandakan berakhirnya pemerintahan British di tanah air kita. Detik ini adalah permulaan buat sebuah negara yang kini mempunyai penduduk sejumlah 32 juta orang yang berbilang kaum, agama, etnik dan kepercayaan.

Apakah makna sebenar Hari Kebangsaan bagi kita rakyat Malaysia khususnya penduduk Selangor, negeri yang berbilang kaum dan budaya, pusat pembangunan ekonomi Malaysia? Hari Kebangsaan adalah hari yang signifikan bukan sahaja diisi dengan perarakan, percikan bunga api dan juga kibaran bendera sahaja namun ia adalah simbol kebebasan dan pengorbanan yang harus kita insafi.

Perjalanan 61 tahun ini bukanlah tanpa darah, keringat dan air mata. Perjuangan para perajurit kita menuntut dan mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara adalah tunjang makna Hari Kebangsaan. Kebebasan yang dikecapi ini tentunya memberi makna yang sangat besar buat kita semua. Kebebasan yang harus kita pertahankan dengan sepenuh jiwa raga demi masa depan anak cucu bangsa Malaysia.

Tema ‘Sayangi Malaysiaku’ yang merupakan tema sambutan Hari Kebangsaan kali ke 61 tahun ini adalah manifestasi semangat rakyat Malaysia pasca 9 Mei 2018. Kebebasan yang dinikmati selama 61 tahun ditambah dengan kejayaan menumbangkan rejim kleptokrat adalah bukti kesepaduan rakyat Malaysia yang cintakan negara dan bangsa. Alhamdulillah, peralihan kuasa yang berlaku dengan aman dan sejahtera adalah asas prinsip demokrasi berparlimen serta Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia. Kini, marilah sama-sama kita mengembleng tenaga merancakkan pembangunan ekonomi negara serta memfokuskan kepada agenda pentadbiran untuk kembali membawa nama Malaysia ke persada dunia.

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke 61. Sayangi Malaysiaku !

YAB DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
TUAN AMIRUDIN SHARI